Skip Ribbon Commands
Skip to main content

TITAH

TITAH
Titah sempena Menyambut Tahun Barun Masihi 2013

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Tahun Barun Masihi 2013.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua, di sepanjang tahun Masihi 2012, kita telah menikmati kurnia berharga berupa ketenteraman dan kemakmuran. Kita berdoa, semoga pada tahun Masihi 2013 juga, kurnia tersebut akan terus berkekalan kita terima.

Dalam keadaan ekonomi dunia yang terus tidak menentu, kita bersyukur negara kita pada tahun 2012 masih saja mampu untuk mencatatkan pertumbuhan ekonomi positif kira-kira 1.6%. Dengan pertumbuhan ini, ditambah lagi dengan pelbagai usaha mengukuhkan kedudukan fiskal, maka insya- Allah, negara kita akan terus berupaya untuk meneruskan program pembangunannya pada tahun 2013 ini.

Di sepanjang tahun 2012 dan sebelumnya, usaha banyak tertumpu kepada mengukuhkan institusi-institusi kita terutama yang berkait langsung dengan penjanaan aktiviti ekonomi.

Sebagai meneruskan usaha ini, kerajaan beta telah menubuhkan sebuah syarikat pemegang pelaburan di bawah Perbadanan Menteri Kewangan (Minister for Finance Corporation) yang dinamakan ‘Darussalam Assets Sdn. Bhd.’. Tujuan syarikat ini ditubuhkan adalah bagi memegang dan menguruskan secara aktif pelaburan kerajaan beta di dalam Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs). Syarikat ini dihasratkan akan memainkan peranan strategik dalam aktiviti-aktiviti pelaburan kerajaan beta ke arah pembangunan negara bagi mencapai perkembangan dan kepelbagaian ekonomi, menyediakan peluang-peluang pekerjaan bagi rakyat, di samping meraih pulangan pelaburan dalam jangka masa panjang.

Penyusunan ini akan membolehkan pemilikan dan pengurusan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan dilaksanakan dengan lebih berkesan berasaskan prinsip komersil dengan amalan Corporate Governance yang kukuh.

Matlamat kita adalah jelas. Kita mahu negara kita sentiasa ‘pro-business’ dan ‘pro-investment’.

Kita telah pun mewujudkan Sistem Perlesenan Perniagaan untuk memulihkan pemberian lesen perniagaan. Kita juga membuat pindaan kepada Akta Cukai Pendapatan (Income Tax Act), yang antara lain menurunkan cukai korporat kepada 20%.

Mulai bulan Januari, 2012, kita telah menguatkuasakan Perintah Paten 2011 (Paten Order 2011) uintuk menjaga hak cipta. Ini adalah penting dalam perusahaan. Dengan adanya undang-undang ini, akan menggalakkan, antara lain, pelburan dalam kegiatan-kegitan kajian dan inovasi.

Kemajuan institusi seterusnya, adalah untuk menjaga keselamatan kedua-dua pihak, penguasa dan pengguna. Kita telah memperkuat lagi undang-undang berkaitan dengan Pembersihan Wang Haram (Money Laundering) dalam bentuk Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012 (Criminal Asset Recovery Order 2012).

Begitu juga halnya dengan penguatkuasaan undang-undang Perintah Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil) 2011 (Consumer Protection {Fair Trading} Order 2011). Ianya bertujuan untuk mewujudkan urus niaga yang adil bagi memelihara kepentingan pengguna.

Dengan langkah-langkah yang telah dilaksanakan tersebut, beta berharap sektor swasta mampu berkembang dengan pesat, antara lain, berupaya untuk menjana peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Sejauh ini, pelaburan dalam sektor minyak dan gas dalam bentuk Pelaburan Asing Langsung (Foreign Direct Investment) adalah sangat menggalakkan. Selain dari industri huluan, industri hiliran juga menempah kemajuan yang menjanjikan. Sebagai tambahan kepada cecair gas asli atau LNG dan pengeluaran methanol, pada masa ini kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa peluang industri hiliran minyak dan gas yang lain.

Kemajuan di bidang ini sudah setentunya akan menambah-baik pendapatan negara dan menjana peluang-peluang pekerjaan. Statistik pada masa ini menunjukkan hanya 40% pekerjaan di sektor ini, diisi oleh anak-anak tempatan. Pada hemat beta, peratus tersebut perlulah ditingkatkan lagi.

Ke arah sasaran ini, Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri telah melaksanakan beberapa inisiatif bersama, dengan Syarikat Brunei Shell Petroleum dan juga lain-lain pihak yang berkepentingan.

Dalam hubungan ini, Kementerian Pendidikan juga, wajarlah menilai semula kedudukan pendidikan teknikal dan vokasional bagi memastikan pendidikan di sektor ini boleh menyumbang kepada keperluan industri dan pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Kita telah pun menyediakan biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional serta Skim Peningkatan Kapasiti Sumber Manusia untuk mempertingkatkan lagi kemahiran anak-anak tempatan yang sudah dan akan berkhidmat dengan sektor swasta.

Inilah di antara usaha kita untuk mendapatkan sumber tenaga yang berkualiti, khasnya dari kalangan para pelajar.

Namun usaha ini sukar untuk berhasil, jika kita gagal memperlengkapkan anak-anak sekolah dengan kemahiran-kemahairan asas, seperti membaca, menulis dan mengira.

Ini penting, dan sekali gus perlu dijadikan budaya. Kerana bangsa yang maju, mereka itu pasti kuat membaca, banyak menulis serta pandai mengira.

Sebab itulah, keputusan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) baru-baru ini perlu diambil iktibar dan perhatian yang serius untuk memperbaikinya lagi. Carilah punca mengapa sebahagian anak-anak sekolah kita tidak dapat menguasai kemahiran asas ini. Mungkin saja latihan dan pendidikan perguruan perlu dipertingkatkan lagi.

Menyebut lagi tentang kemajuan, beta adalah gembira dengan peningkatan perlaksanaan projek-projek RKN setakat ini. Pada tahun pertama RKN 10 ini, kerajaan beta telah menyediakan peruntukan tambahan bagi membiayai projek-projek yang sedang rancak berjalan, temasuklah penyediaan infrastruktur.

Ini, turut meliputi beberapa keputusan untuk memudahkan perhubungan, antara lain, membina jambatan-jambatan yang akan menghubungkan Bandar Seri Begawan dengan Lumapas dan Daerah Temburong. Bagaimanapun, isu kesesakan jalan raya juga adalah diberikan prioriti untuk ditangani secara komprehensif. Kajian mengenainya bagi penyelesaian jangka panjang adalah perlu.

Di arena antarabangsa, kita tetap menyumbang secara positif ke arah kesejahteraan dan keamanan serantau mahupun global.

Pada tahun 2013 Masihi ini, negara kita telah mengambil alih selaku Pengerusi ASEAN. Begitu juga akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat-mesyuarat, antaranya Mesyuarat Kemuncak ASEAN bagi Ketua-ketua Kerajaan Negara-negara Ahli ASEAN dan Mesyuarat Kemuncak ASEAN bersama Negara-negara Rakan.

Insya-Allah kita akan menggunakan peluang terbaik ini untuk memanfaatkan peranan kita disegi menyumbang terhadap keamanan dan kesejahteraan serantau serta global.

Di samping itu, sebagai tuan rumah, kita juga akan berperluang untuk menunjukkan kepada dunia kebolehan kita mencapai kemajuan, keamanan dan keharmonian bermasyarakat, termasuk menerima para tetamu dengan mesra dan hormat.

Dalam pada itu, sebagi bangsa yagn bermaruah, kita juga tidak ada pilihan lain kecuali dengan tegas memberitahu rakan-rakan dan bahkan dunia, bahawa kita tidak mampu untuk membenarkan sebarang provoksi terhadap hak-hak kita dalam berugama atau bernegara. Maka kerana itulah, kita turut mengutuk dengan kerasnya sebarang perbuatan menghina Ugama Islam atau Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dalam apa pun bentuknya, seperti melalui penerbitan film Innocence of Muslim dan yang paling terbaru setakat ini, film berjudul: The Innocent Prophet, di mana kedua-duanya itu cukup jelas sebagai provoksi jahat oleh mereka yang tidak bertamadun.

Akhrinya, bersempena dengan tahun baru ini, beta berseru kepada rakyat dan penduduk negara ini agar menguatkan lagi azam dan usaha untuk menjadikan masyarakat kita lebih progesif dan tahan lasak dalam menghadapi cabaran-cabaran abad ke-21 ini.

Beta sukacita juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan, dan juga kepada mereka yang berkhidmat di sektor swasta, di atas usaha ikhlas mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing pada sepanjang tahun 2012.

Beta dan kelaurga beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2013 kepada seluruh rakyat dan penduduk. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran kepada kita semua dan kepada negara.

Sekian. Wabillahit Taufeq Wal-hidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.