Skip Ribbon Commands
Skip to main content

TITAH

Manage PermissionsManage Permissions
Titah Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-9 Tahun 2014

​TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


SEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN KALI KE-9 TAHUN 2014


PADA HARI SABTU
8HB. ZULKAEDAH, 1435
3HB. SEPTEMBER 2014


BERTEMPAT DI
STADIUM TERTUTUP,
KOMPLEKS SUKAN NEGARA HASSANAL BOLKIAH


Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah kita pada hari ini bersama-sama lagi berkumpul dalam perhimpunan Sambutan Hari Belia Kebangsaan kali kesembilan bagi tahun 2014. Beta sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia Kebangsaan 20044 kepada semua para belia di negara ini.

Para belia mempunyai peranan yang sangat besar dalam memelihara dan mengangkat martabat negara. Mereka juga adalah golongan paling berpotensi untuk mencorakkan bangsa dengan apa jua corak  yang mereka mahu. Bukankah hampir 50 peratus dari jumlah penduduk negara ini terdiri daripada kaum belia? Jumlah yang sebesar ini merupakan satu ‘kuasa’ tersendiri.

Kaum belia perlu menggunakan kelebihan ini untuk membina diri mereka sendiri dan juga masyarakat. Dengan kelebihan yang ada itu, mereka adalah mampu untuk terus berkembang, dengan merebut pelbagai peluang yang sentiasa terbuka luas di hadapan mereka. Peluang-peluang tersebut turut meliputi, seperti peluang menambah kebolehan dan kemahiran.

Kaum belia juga adalah agen kepada perubahan. Namun dalam perkara perubahan ini, semua kita, lebih-lebih lagi kaum belia adalah dikehendaki supaya lebih bijak dan berhati-hati dalam menilai dan memilih perubahan itu. Kerana bukanlah semua perubahan itu baik, malah ada yang memerlukan kita supaya mengelaknya, iaitu jika perubahan itu membawa impak tidak baik atau tidak selaras dengan aspirasi bangsa.

Sebelum membawa atau melahirkan sebarang perubahan, kaum belia dikehendaki untuk memiliki jati diri yang jelas, kukuh dan mantap. Ia juga mustahak untuk diisi dengan nilai-nilai ugama dan budaya yang luhur, supaya kelak perubahan itu tidak dibayangi oleh elemen-elemen yang tidak diingini.

Jika sesuatu perubahan itu menampilkan kebatilan, maka perubahan seperti ini tidaklah dialu-alukan, kerana kemunculannya bukan membawa kebaikan tetapi sebaliknya mengundang kerosakan. Ini, sangat biasa terjadi dimana-mana, atas nama perubahan, kalau perubahan itu berunsur malapetaka, maka masyarakat yang menerimanya akan menderita jadinya.

Kita di Brunei, perlulah berhati-hati dengan perkara seumpama itu, cari dan rancanglah perubahan yang membina, bukan perubahan yang merosak. Janganlah belajar atau mengambil dari mana-mana yang tidak bermanfa’at untuk dipelajari, tetapi belajarlah dari mana dan kepada siapa yang patut dicontohi.

Inilah cara mengendalikan diri. Para belia mustahak memahami perkara ini. Mengendalikan diri itu bererti juga menguasai keadaan di mana yang perlu.

Inilah cabaran yang sangat sukar untuk dihadapi, iaitu cabaran abad ke-21 era globalisasi. Cabaran ini tidak pernah sunyi dari agenda memusnahkan kebenaran.

Di sinilah para belia tidak boleh memandang ringan sebarang cabaran, tetapi mustahak menghayati saranan tema Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini: Bersatu Menghadapi Cabaran Abad Ke-21.

Sesungguhnya abad ini memang penuh dengan cabaran. Tidak siapapun yang boleh terlepas dari cabaran, sama ada cabaran itu membina atau meruntuh. Jika cabaran membina, ia wajar kita sambut dengan keghairahan, sementara jika cabaran itu meruntuh, maka kita adalah berkewajipan untuk menyambutnya dengan semangat menolak atau melawan, dalam makna, kita perlu berjaya menolak atau menggagalkannya. Jika kita berjaya menolak atau menggagalkan cabaran sepertii ni, bererti kita adalah penyelamat: penyelamat diri sendiri, penyelamat masyarakat dan penyelamat negara.

Para belia mesti tampil menjadi wira keadaan. Corakkanlah keadaan itu dengan kebajikan. Biar ia malar tenteram dan menyenangkan serta berhias dengan perpaduan, persefahaman dan keharmonian.

Satu contoh bagus tentang perpaduan dan persefahaman, terdapat dalam acara-acara Kejohanan Bola Sepak Piala Hassanal Bolkiah Peringkat Belia. Melalui acara-acara ini kita dapat menyaksikan kumpulan belia negara-negara ASEAN dan Timor Leste sedang beraksi merealisasikan perpaduan dan persefahaman di antara mereka. Suasana seperti ini amatlah membanggakan dan malah menghiburkan.

Kita juga gembira, kerana kejohanan ini telah turut diiktiraf oleh Asian Football Confederation (AFC) dan ASEAN Football Federation (AFF) sebagai satu kejohanan bola sepak belia yang terunggul di rantau ini.

Ini tidak syak lagi adalah merupakan satu lagi pencapaian bagi agenda dunia ‘Sukan untuk Keamanan dan Pembangunan’ atau Sports for Peace and Development.

Untuk akhirnya, Beta mengambil kesempatan, untuk mengucapkan  setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan Tebuan Muda Negara Brunei Darussalam di atas mutu persembahan mereka yang baik, walaupun tidak dapat meneruskan sehingga kepusingan berikutnya.

Sekian, Wabillahhit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments